Sunday, March 27, 2011

Ulasan Jurnal ADHD

Ulasan Jurnal

Ulasan jurnal ini adalah berdasarkan artikel jurnal yang bertajuk ”PENATALAKSANAAN ATTENTION DEFICIT HYPERACTIVE DISORDERS PADA ANAK” hasil karya daripada Dr Widodo Judarwanti SpA.  Penulisan jurnal ini berkisar tentang pengenalan, definisi, punca berlakunya ADHD, ciri-ciri, keperluan pembelajaran, diagnosis ADHD, tanda-tanda awal, etiologi, dan rawatan bagi kanak-kanak ADHD.  Huraian-huraian yang terdapat di dalam jurnal ini kebanyakannya menyentuh tentang perubatan dan kesihatan. Namun secara keseluruhannya, fakta-fakta yang terdapat dalam jurnal tersebut adalah tepat dan menarik di samping penerangan isi yang relevan dan menyeluruh.
            ADHD didefinisikan sebagai kecelaruan psikologi dengan petanda-petandanya dapat dikesan sebelum umur tujuh tahun.  ADHD dapat dikategorikan kepada tiga iaitu kanak-kanak kurang tumpuan (ADD), hiperaktif-impulsif, dan gabungan daripada kedua-dua ini.  Hiperaktif adalah istilah yang digunakan kepada kanak-kanak yang mempunyai tingkah laku yang terlampau aktif (overactive) dan mengganggu (disruptive).  Kebiasaannya kanak-kanak hiperaktif mempunyai masalah kekurangan tumpuan atau tumpuan yang singkat.  Istilah ini sebenarnya merangkumi dua masalah yang ditunjukkan oleh kanak-kanak ini iaitu terlampau aktif dan kekurangan tumpuan.
            Lelaki adalah tiga kali ganda lebih ramai menghidap ADHD berbanding kanak-kanak perempuan. Kanak-kanak ADHD gemar bertindak sebelum berfikir, terlalu aktif dan sukar menumpukan perhatian terhadap sesuatu tugas. Kanak-kanak ini boleh memahami dan berfikir, tetapi tidak mengendahkannya.  Sememangnya lumrah setiap kanak-kanak bersikap begini, tetapi bagi penghidap ADHD, perangai mereka agak nakal daripada kebiasaannya, terutamanya jika berminat terhadap sesuatu perkara baru.  Kelemahan bagi kanak-kanak ini ialah mereka sukar bergaul dengan masyarakat serta lemah dalam akademik.  Penghidap ADHD mempunyai fungsi otak yang mengawal aktiviti berbeza daripada normal.  Ini membuatkan mereka sering berkelakuan pelik dan kelam kabut.  Pengkaji dan doktor mengatakan ADHD berpunca daripada genetik tetapi tidak diketahui sebab utama yang mampu mengesahkan bagaimana ADHD boleh terjadi kepada manusia.
            ADHD berlaku apabila ada perubahan kimia yang dipanggil neurotransmitters pada otak manusia. Cairan kimia ini berfungsi menghantar pesanan antara sel saraf ke otak. Bagi individu yang kekurangan kimia ini akan menunjukkan simptom ADHD.  Ada beberapa pendapat pakar mengatakan saiz otak ADHD lima ke 10 peratus lebih kecil daripada otak normal.  Merokok ketika mengandung juga boleh menyebabkan anak berisiko mendapat ADHD. Selain itu risiko lain ialah kelahiran pra matang, bayi dilahirkan dengan berat badan berkurangan dan kecederaan pada otak ketika di dalam perut ibu.
            ADHD bukan sejenis penyakit berjangkit, tetapi sindrom seumur hidup bagi mereka yang mengalami situasi kronik.  Apa yang membimbangkan 35 peratus daripada kanak-kanak ADHD lebih bersikap degil, sering membantah dan melanggar peraturan.  Selain itu, 18 peratus daripada mereka lalai, tidak puas dengan apa yang ada, tertekan, masalah dalam pelajaran dan bersosial serta hilang rasa hormat terhadap diri sendiri.  Kira-kira 25 peratus lagi kanak-kanak ADHD cepat risau, takut dan panik, menyebabkan jantung mereka berdegup laju, berpeluh, sakit perut dan cirit birit.
            Membuat diagnosis yang lengkap memerlukan penilaian daripada seorang pakar yang berpengalaman memandangkan terdapat beberapa punca lain yang boleh menyebabkan keresahan dan tingkah laku yang tidak dapat menumpukan perhatian. Tiada ujian mudah untuk kanak-kanak ADHD.  Walaupun kanak-kanak ada kalanya menunjukkan tingkah laku yang terlalu aktif atau lasak, ibubapa harus berhati-hati agar tidak tersilap membuat andaian dan menganggap anak mereka hiperaktif. Semangat berkobar-kobar, bertindak mengikut gerak hati dan suka bergurau dianggap sebagai normal. Tetapi semuanya bergantung kepada usia dan tahap pertumbuhan mereka.
            Keperluan pembelajaran bagi kanak-kanak dengan ADHD memerlukan intervensi dari awal lagi dari segi penglibatan ibu bapa, guru, sokongan persekitaran, tingkah laku, dan proses pengajaran dan pembelajaran.  Kanak-kanak dengan ADHD boleh dibantu dalam pelajaran melalui intervensi pengajaran yang berkesan.  Antara intervensi pengajaran yang berkesan adalah arahan yang diberi hendaklah jelas, ringkas, dan lengkap.  Kanak-kanak dengan ADHD boleh belajar sekiranya dibantu melalui sokongan persekitaran seperti susunan kelas yang boleh membantu mereka.  Menetapkan peraturan kelas yang jelas dan membincangkan jangkaan yang diharapkan.  Menyediakan dan mematuhi rutin harian kelas dan mengingatkan murid sekiranya terdapat sebarang perubahan.  Menyusun pembelajaran misalnya menjadikan pembelajaran lebih aktif dengan cara memberi murid peluang bergerak.
            Seperti pelajar bekeperluan khas yang lain, pelajar ADHD akan ditempatkan di dalam kelas Program Khas Masalah Pembelajaran (PKBP) dan mengiuti Kurikulum PKBP berdasarkan Sukatan Pelajaran PKBP Sekolah Rendah dan Menengah.  Perlaksanaan kurikulum adalah luwes (flexible) mengikut keupayaan pelajar.  Pengajaran guru akan disesuaikan dengan tahap keupayaan mental pelajar, tingkah laku, tumpuan perhatian, tahap kemahiran, motor kasar dan halus, keupayaan berkomunikasi, dan lain-lain.  Sebab itulah Sukatan Pelajaran PKBP digabungkan antara sekolah rendah dan sekolah menengah bagi menunjukkan kesinambungan kurikulum.  Pelajar yang menunjukkan peningkatan pencapaian yang baik akan mengikuti pelajaran pada tahap yang lebih tinggi berbanding rakan-rakan mereka yang lain.
            Antara faktor fisiologikal yang dikenalpasti sebagai punca ADHD adalah faktor keturunan, perbezaan fungsi otak, dan faktor biokimia.  Dalam faktor keturunan, individu dengan ADHD berkemungkinan besar mempunyai corak ADHD dalam keluarganya.  Malah, kanak-kanak yang ibu atau bapanya mengalami ADHD berkemungkinan tiga kali ganda mewarisinya.  Ahli sains mendapati tiga bahagian otak iaitu prefrontal cortex, basal ganglia, dan serebelum berfungsi berbeza-beza pada individu dengan ADHD berbanding individu lain.  Khusus bagi kanak-kanak dan orang dewasa dengan ADHD, terdapat kurang aktiviti elektrikal dan kurang tindak balas terhadap rangsangan bagi bahagian-bahagian tersebut.  Bahan kimia dalam otak yang dikenali sebagai nuerotransmitter yang memancarkan maklumat daripada salah satu daripada tiga bahagian otak kepada bahagian yang lain, tidak dipecahkan dan diserap semula dengan sempurna dalam otak individu dengan ADHD.
            Kajian-kajian terkini menunjukkan bahawa faktor fisiologi merupakan punca utama terjadinya ADHD, dan faktor persekitaran pula dilihat sebagai penyumbang kepada tahap keterukan ADHD yang dialami oleh kanak-kanak.  Kecederaan otak mungkin terjadi semasa tempoh pranatal akibat daripada penggunaan dadah, rokok, atau pengambilan alkohol oleh ibu.  Semasa proses kelahiran, kecederaan otak berlaku akibat kekurangan oksigen.  Selain itu, kecederaan otak boleh juga disebabkan demam panas yang teruk atau kemalangan yang melibatkan kecederaan kepala.
            ADHD tidak boleh diubati tetapi boleh dikawal. Caranya adalah dengan bantuan ibu bapa dan orang di sekeliling. Rawatan ADHD juga dikatakan lebih baik dengan gabungan perubatan dan terapi.  Susulan rawatan yang sistematik sangat membantu mereka kembali normal. Rawatan alternatif semakin menjadi perhatian, termasuk makanan tambahan dan herba, manipulasi kiropratik dan perubahan diet.  Bagaimanapun tidur yang cukup terbukti dapat membantu mengurangkan simptom ADHD.  Asid Dokosaheknoik membantu merembeskan neurotransmitter serotonin yang bertanggungjawab memberikan perasaan ceria kepada kanak-kanak ini dan membolehkan mereka bergaul dengan kanak-kanak lain seperti biasa.
            Ubat stimulan utama untuk merawat ADHD adalah methylphenidate yang dijual menggunakan nama Ritalin. Kesan ubat dijangka bermula dalam masa 30-60 minit dan keberkesanan ubat ini akan luput selepas 3-4 jam. Seorang kanak-kanak ADHD mungkin memerlukan antara dua hingga tiga dos pada setiap hari untuk mendapatkan hasil yang terbaik.  Ubat stimulan adalah tidak memadai untuk merawat ADHD.  Rawatan untuk ADHD perlu diselitkan dengan program psikologi, sosial dan pendidikan yang boleh membantu kanak-kanak mempelajari kemahiran baru, sikap dan tingkah laku yang seharusnya untuk mereka mengatasi tuntutan hidup.
            Kanak-kanak dengan ADHD dapat dididik dan mempunyai potensi untuk berkembang seperti kanak-kanak lain.  Malah terdapat kanak-kanak ADHD yang menunjukkan pencapaian yang cemerlang dalam pelajaran dan kerjaya mereka.  Perkara penting yang perlu diberi perhatian adalah kualiti pendidikan yang diperolehinya ketika di rumah mahupun di sekolah.  Kecelaruan tingkah laku kanak-kanak ini perlu diurus melalui proses pembelajaran yang tersusun dan sistematik.  Pengetahuan ibu bapa dan guru tentang ADHD sangat penting dalam merancang program pendidikan dan kerjaya kanak-kanak dengan ADHD.

Rujukan

Sumber Internert : 
PENATALAKSANAAN ATTENTION DEFICIT HYPERACTIVE DISORDERS PADA ANAK
Dr Widodo Judarwanto SpA,
KORESPONDENSI DAN KOMUNIKASI